suria

Tiga Pengedar Dadah Terlepas Hukuman Mati

Tiga pengedar dadah termasuk Ko Chi-yuen (tengah) ketika dihadapkan ke mahkamah, Khamis.

JAKARTA: Tiga lelaki warga Hong Kong yang didapati bersalah menyeludup dadah jenis methamphetamine ke negara ini terlepas hukuman mati sebaliknya dipenjara seumur hidup.

Sebelum ini, pendakwa raya memohon ketiga-tiga tertuduh dihukum mati selepas ditangkap bersama 49 kilogram (kg) dadah di bandaraya ini.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Barat, Edi Hasmi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Ko Chi-yuen manakala dua lagi rakannya, Kwok Fu-ho dan Yang Wing-bun menerima hukuman penjara 20 tahun.

“Kesalahan tertuduh ini berlawanan dengan pendirian tegas Indonesia yang menentang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Kesemua tertuduh ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Jakarta Barat baru-baru ini.

Mereka dilaporkan mengambil dadah berkenaan dari seorang lelaki untuk diedarkan di negara ini.

Pada awal November, seorang lagi lelaki Hong Kong, Wong Chi-ping dihukum mati oleh mahkamah di Indonesia selepas didapati bersalah menyeludup 860 kg methamphetamine.

Indonesia antara negara yang mempunyai hukuman berat terhadap kesalahan berkaitan dadah dan memperuntukkan hukuman mati yang dilaksanakan pasukan penembak tepat.

Sejak 2014 seramai 14 pesalah dadah termasuk 12 warga asing dihukum mati di Indonesia.


Hong Kong, dadah, Ko Chi-yuen, Edi Hasmi

Artikel Lain