suria

Kabore Dipilih Presiden Baharu Burkina Faso

Roch Marc Kabore. Foto Reuters

OUAGADOUGOU: Roch Marc Kabore diisytiharkan sebagai pemenang pada pilihan raya presiden di Burkina Faso dan akan menjadi pemimpin baharu pertama negara itu selepas beberapa dekad, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas negara itu pada Selasa.

Pemilihan bekas perdana menteri itu merupakan detik penting bagi negara Afrika Barat yang diperintah oleh pemimpin berkuasa menerusi rampasan kuasa sejak ia memperoleh kemerdekaan dari Perancis pada 1960.

Kabore berkhidmat sebagai perdana menteri dan ketua Himpunan Kebangsaan di bawah Presiden, Blaise Compaore yang digulingkan dalam satu kebangkitan pada Oktober 2014 selepas 27 tahun memegang kuasa.

Kabore berpecah dengan Compaore pada awal tahun ini dan membentuk parti pembangkang.

"Fikiran pertama saya ialah mengiktiraf jawatan tertinggi ini dan merasai tanggungjawab yang sangat besar," kata Kabore dalam ucapannya kepada ribuan penyokong selepas diisytiharkan sebagai pemenang.

Menurut suruhanjaya pilihan raya, keputusan menunjukkan Kabore memenangi kira-kira 60 peratus undi bagi menewaskan bekas Menteri Kewangan, Zephirin Diabre yang mencatatkan 29.7 peratus dan 12 lagi calon.

"Pilihan raya berjalan dengan tenang, menunjukkan kematangan rakyat di Burkina Faso," kata Barthelemy Kere, presiden suruhanjaya pilihan raya pada sidang media. Reuters

Roch Marc Kabore, Burkina Faso

Artikel Lain