YAOUNDE: Kumpulan yang disyaki militan Boko Haram melancarkan dua serangan bom berani mati di utara Cameroon pada Selasa malam, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, menurut seorang pegawai dan sumber keselamatan pada Rabu. Pengeboman berani mati sering dilakukan oleh wanita-wanita muda yang direkrut oleh kumpulan militan itu di negara jiran Nigeria. Keadaan itu menjadikan kes serangan berlaku hampir setiap hari di wilayah utara Cameroon. "Berlaku dua serangan berani mati malam tadi di Waza di utara Cameroon, dengan enam kematian, termasuk tiga penyerang," kata Michel Oumarou, timbalan pengawas bagi bandar Waza. Dua sumber keselamatan turut mengesahkan serangan itu, dengan salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa jumlah kematian adalah lebih tinggi melibatkan enam orang awam. Salah satu sumber menambah, pengebom berani mati ketiga dibunuh oleh pasukan keselamatan sebelum suspek sempat meletupkan bom berkenaan. Cameroon menjadi sasaran serangan sejak ia menjadi sebahagian daripada pasukan petugas serantau dengan misi untuk menumpaskan Boko Haram menggunakan tentera dari Cha, Niger, Nigeria, Camerron dan Benin. - Reuters