BLOEMFONTEIN: Mahkamah Rayuan tertinggi di Afrika Selatan mengubah keputusan terdahulu apabila memutuskan atlet paralimpik Oscar Pistorius bersalah membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp pada Hari Valentine 2013. Tahun lalu, hakim mengenakan hukuman penjara lima tahun dan kini menjalani hukuman tahanan dalam rumah. Bagaimanapun pihak pendakwaan menganggap atlet yang dikenali sebagai Blade Runner itu sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat. Pistorius ke mahkamah untuk menghadapi keputusan kes itu yang mendapati dia bersalah membunuh. Jika bersabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. Atlet itu membunuh Steenkamp ketika wanita itu berada dalam tandas berkunci dengan melepaskan empat das tembakan. Susulan keputusan terbaharu ini, Pistorius akan kembali menjalani hukuman penjara, lapor wakil BBC, Pumza Fihlani di Johannesburg. Membacakan keputusan yang dicapai lima panel, Hakim Lorimer Leach berkata, sepatutnya Pistorius tahu tembakan menggunakan senjata itu boleh menyebabkan seseorang itu terkorban. Bagaimanapun, Pistorius masih mempertahankan tindakannya itu kerana menganggap rumahnya dimasuki penceroboh. Hakim berkenaan bagaimanapun membandingkan tindakan Pistorius umpama pengebom yang menghidupkan bahan letupan itu di tempat awam tanpa tahu siapa mangsanya. Pada tahap ini, Pistorius masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Perlembagaan, bagaimanapun ia hanya boleh berlaku jika peguamnya boleh mengetengahkan haknya mengikut Perlembagaan telah dicemari. --Reuters