suria

Banjir: Lapangan Terbang Di India Dibuka Semula

CHENNAI: Lapangan terbang utama di India yang dilanda banjir baru-baru ini telah dibuka pada Ahad.

Pada masa sama, petugas bantuan banjir masih bertungkus lumus membantu penduduk negara itu yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing sehingga keadaan bertambah baik.

Lapangan terbang antarabangsa di Chennai yang ditutup pada Rabu dan mengakibatkan ribuan penumpang terkandas.

Hujan lebat yang berterusan sejak 9 November lalu itu telah mengorbankan hampir 300 nyawa.

"Tiada kerosakan landasan akibat banjir itu. Walaupun air masih bertakung, ia dijangka surut dalam beberapa hari lagi.

"Beberapa penerbangan bantuan semalam dan hari ini, penerbangan komersial sudah beroperasi," kata Menteri Penerbangan, Mahesh Sharma.

Ribuan penduduk diselamatkan menggunakan bot ketika berada di bumbung kediaman apabila banjir menenggelamkan seluruh bandar Chennai. Kejadian itu juga menyebabkan bekalan elektrik dan talian telefon terjejas.

Anggota tentera dan petugas bantuan turut menyalurkan makanan, minuman bersih dan bekalan perubatan ke kawasan terjejas.

"Anggota tentera telah mengagihkan barangan bantuan kepada mangsa banjir  termasuk air dan makanan kepada lebih 20,000 penduduk," kata Kolonel Rohan Anand.

Bagaimanapun, hujan lebat pada Ahad di Chennai menyebabkan usaha bantuan yang dilakukan tidak memberi kesan.



Chennai, banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pengganas Serang London Tube

Artikel Lain