PRETORIA: Bekas juara paralimpik, Oscar Pistorius dibebaskan dengan ikat jamin pada Selasa selepas peguambelanya memaklumkan akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya. "Kes ditangguhkan sehingga April 2016. Pemohon dibebaskan dengan ikat jamin 10,000 rand ($690)," kata Hakim Aubrey Ledwaba di Mahkamah Tinggi di sini. Ledwaba berkata, Pistorius, 29, akan meneruskan hukuman sebagai tahanan rumah dan dibenarkan meninggalkan kediaman di sini jika mendapat kebenaran pegawai penyiasat. Kata hakim itu lagi, alat elektronik akan dipasang pada Pistorius untuk tujuan pemantauan. Minggu lalu, panel hakim memutuskan Oscar Pistorius bersalah membunuh Reeva Steenkamp pada Hari Valentine 2013. Atlet itu membunuh Steenkamp ketika wanita itu berada dalam tandas berkunci dengan melepaskan empat das tembakan. Tahun lalu, hakim mengenakan hukuman penjara lima tahun dan kini menjalani hukuman tahanan dalam rumah. Bagaimanapun pihak pendakwaan menganggap atlet yang dikenali sebagai Blade Runner itu sepatutnya dikenakan hukuman lebih berat. Pistorius ke mahkamah untuk menghadapi keputusan kes itu yang mendapati dia bersalah membunuh. Jika bersabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun.