JAKARTA: Lapangan Terbang Abdul Rachman Saleh di Malang, Jawa Timur terpaksa ditutup sementara pada Selasa akibat debu gunung berapi Gunung Bromo yang semakin aktif sehingga mengganggu penerbangan. Media tempatan memetik Ketua Unit Pelaksana Teknis (UPT) Lapangan Terbang Abdul Rachman Saleh, Suharno sebagai berkata penutupan lapangan terbang itu berkuatkusa mulai pukul 10.00 pagi Selasa dan perkembangannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Katanya, sebelum lapangan terbang itu ditutup dua buah pesawat iaitu Sriwijaya Air dan Batik Air sempat mendarat dengan selamat. Beliau berkata, dengan penutupan itu, syarikat-syarikat penerbangan mempunyai pilihan sama ada menunda penerbangan atau mengalih pendaratan ke Lapangan Terbang Juanda Sidoarjo di Surabaya. Suharno berkata, pihaknya telah memaklumkan penutupan lapangan terbang itu kepada semua syarikat penerbangan demi keselamatan penumpang. Malang ialah salah sebuah destinasi pelancongan yang popular di Jawa Timur dan terletak kira-kira 90 kilometer dari Surabaya. Gunung Bromo yang terletak di Malang telah mula mengeluarkan abu vulkanik sejak minggu lepas dan setakat ini abu itu dikatakan menyembur sekitar 1,500 kilometer di atas puncak. Ekoran itu semua penerbangan ke Malang telah dibatalkan sejak 11 Disember lepas. Lapangan terbang Malang itu bagaimanapun dibuka kembali semalam setelah keadaan debu itu dilaporkan berkurangan. Namun, pada pagi Selasa debu gunung berapi itu kembali meluap tinggi ke udara yang menyebabkan lapangan terbang itu terpaksa ditutup semula. - BERNAMA