JAKARTA: Sebuah pesawat latihan supersonik milik Tentera Udara Indonesia (TNI AU) jatuh ketika sedang membuat pertunjukan aerobatik di Lapangan Terbang Adi Sucipto di Jogjakarta pagi Ahad. Dua juruterbang pesawat itu disahkan terkorban dalam nahas berkenaan. Media-media tempatan memetik Ketua Bahagian Penerangan TNI AU Marsma Dwi Badarmanto sebagai berkata, dalam kejadian 10 pagi waktu tempatan, pesawat T-50 Golden Eagle milik TNI AU jatuh ketika melakukan aksi terbang menjunam rendah dalam pertunjukan Gebyar Dirgantara itu. Laporan televisyen tempatan Metronews memetik seorang saksi yang dikenali sebagai Wina berkata, beliau terlihat kepulan asap keluar dari pesawat itu sebelum ia terjunam tajam dan jatuh ke bumi. Ekoran kemalangan itu, pertunjukan udara berkenaan dibatalkan dan pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan mengenai punca nahas. Pada perkembangan lain, usaha mencari dan menyelamat 122 penumpang dan anak kapal sebuah feri Marina yang dilaporkan tenggelam di laut Sulawesi semalam masih dijalankan. Setakat ini, Badan SAR Nasional (Basarnas) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan mangsa feri terbabit. Menurut laporan Basarnas, feri itu disahkan karam di perairan Siwa di Sulawesi akibat dipukul ombak dan taufan pada kira-kira pukul 3 petang Sabtu. Media tempatan memetik Ketua Basarnas Sulawei Selatan, Roky Asikin sebagai berkata, feri yang diperbuat daripada fiber itu belayar dari Kolaka, Sulawesi Tenggara untuk ke Siwa, daerah Wajo. Katanya, kesemua penumpang dan anak kapal dipercayai tenggelam bersama-sama feri berkenaan dan pihaknya belum dapat mengesahkan nasib kesemua penumpang dan anak kapal terbabit.