suria

Peserta Jerman Mohon Maaf Kritik Pemenang Miss Universe

Peserta Miss Universe dari Jerman, Sarah-Lorraine Riek (kiri) dan pemenang, Pia Alonzo Wurtzbach dari Filipina.

PESERTA Jerman bagi Miss Universe 2015 membuat permohonan maaf selepas beliau mengkritik pemenang pertandingan ratu cantik itu yang merupakan peserta dari Filipina dengan mendakwa bahawa tiada siapa yang mengundinya, lapor portal Mirror.

Terdahulu, pengacara Steve Harvey mencetuskan kontroversi apabila tersilap mengumumkan nama pemenang dengan menyebut perserta dari Colombia, Ariadna Gutierrez-Arevalo sebagai pemenang.

Harvey yang menyedari kesilapan itu kemudiannya mendedahkan bahawa peserta Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach yang sebenarnya dimahkotakan sebagai Miss Universe 2015.

Bagaimanapun, peserta Jerman, Sarah-Lorraine Riek yang tidak mendapat sebarang tempat teratas dalam pertandingan itu mengakui bahawa beliau tidak gembira dengan keputusan tersebut.

"Saya benar-benar tidak percaya, saya begitu kecewa. Bagi saya, Miss France (peserta dari Perancis) adalah pemenang yang sebenarnya," katanya dalam satu temuramah yang dimuat naik di laman Facebook, Missosology.

"Saya sangat gembira buat Miss Colombia (peserta dari Colombia) kerana dia sememangnya layak. Saya sangat tidak gembira dengan keputusan (baharu) dan begitu juga dengan gadis-gadis lain," tambah Lorriane.

"Ini kerana tiada siapa yang mengundi untuk Filipina. Saya minta maaf kerana terpaksa mengatakannya," katanya.

Bagaimanapun, Sarah-Lorraine kini dilaporkan membuat permohonan maaf di atas kenyataannya itu apabila pasukan Miss Universe Germany, penganjur bagi pertandingan itu di Jerman mengeluarkan kenyataan di akaun rasmi Facebook mereka.

Menurut beberapa laporan, kenyataan itu menyebut: "Miss Universe Germany, Sarah-Lorraine memohon maaf terhadap temannya dan rakan Miss Colombia. Ia pastinya merupakan mimpi ngeri terburuk. Beliau tiada niat untuk menyinggung perasaan Miss Philippines (peserta Filipina). Beliau memohon maaf kepada kedua-duanya."

Miss Universe

Artikel Lain