BERLIN: Seorang lelaki maut pada Hari Krismas lalu selepas kepalanya terkena serpihan logam terpelanting dari mesin menjual kondom yang diletupkannya bersama dua rakannya, kata polis pada Isnin. Lelaki berusia 29 tahun itu dibawa oleh rakannya ke hospital di Schoeppingen, dekat sempadan Belanda. Letupan tersebut mengakibatkan banyak kondom dan wang bertaburan di mesin layan diri yang telah rosak. Dua lelaki berkenaan memberitahu pegawai hospital mengenai rakan mereka terjatuh dari tangga sehingga mencederakan kepalanya. Pegawai hospital yang berasa curiga dengan penjelasan itu kemudiannya menghubungi polis. Salah seorang daripada mereka bagaimanapun membuat pengakuan semasa disoal siasat oleh polis dengan memaklumkan kesemua mereka telah meletupkan mesin layan diri itu. - Reuters