suria

Indonesia Hadapi Letusan Soputan

Gunung Soputan mula menghamburkan debu tebal setinggi dua kilometer ke udara.

JAKARTA: Selepas beberapa letusan gunung berapi sepanjang tahun lalu, kini Indonesia dalam keadaan berjaga-jaga apabila Soputan yang terletak di Sulawesi Utara mula menghamburkan debu tebal.

Susulan itu, Pegawai Badan Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, orang ramai dilarang berada dalam lingkungan empat kilometer dari puncak gunung berkenaan.

“Gunung ini meletus dan mengeluarkan asap setinggi dua kilometer ke udara yang condong ke tenggara.

“Lahar juga dilihat keluar dan mengalir dari bahagian timur lereng gunung.

“Ketika ini tiada penduduk yang dipindahkan kerana radius larangan masih jauh dari kawasan penempatan,” katanya.

Menurut pegawai itu, debu gunung berapi dikesan di beberapa daerah termasuk di Langowan di Minahasa.

“Aktiviti penduduk di Minahasa Selatan dan Minahasa Tenggara tetap berjalan seperti biasa kerana mereka sudah biasa dengan letusan gunung berapi ini,” katanya lagi.

Menurutnya, daripada 127 gunung berapi yang aktif di Indonesia hanya satu berstatus bahaya iaitu Sinabung, manakala empat berstatus berjaga-jaga dan 15 waspada. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain