BANGKOK: Thailand menghentikan pendaftaran baru bas dua tingkat berikutan kadar kemalangan jalan raya yang banyak melibatkan kenderaan itu. Perkara itu diputuskan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha yang turut mengarahkan supaya pemeriksaan ketat dilakukan terhadap pengangkutan awam itu. Menteri Pengangkutan, Arkhom Termpittayapaisith berkata, Prayut mengeluarkan arahan itu ketika mesyuarat Kabinet pada Rabu. “Prayut mahu pendaftaran baru bas dua tingkat ditamatkan kerana kenderaan itu terbabit dalam banyak kemalangan jalan raya,” katanya. Sebanyak 4,800 bas dua tingkat dan 16,000 bas setingkat dengan ketinggian lebih 3.6 meter yang masih beroperasi mesti lulus ujian kecondongan pada kecerunan 30 darjah. “Sekiranya gagal, kenderaan itu mesti ditamatkan perkhidmatannya,” katanya. Prayut juga mahu semua pengangkutan awam dipasang sistem kedudukan global (GPS) bagi memantau tabiat pemandu kerana kebanyakan kemalangan berpunca dari sikap pemandu. Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengangkutan Darat menarik lesen pemandu yang memandu dengan cuai dan mengenakan denda lebih berat terhadap operator bas. “Thailand adalah satu-satunya negara yang membenarkan bas dua tingkat beroperasi,” jelasnya.