WASHINGTON: Calon presiden parti Republican, Donald Trump melakukan serangan peribadi terhadap pencabarnya dari Democrat, Hillary Clinton dengan menayangkan montaj video Monica Lewinsky. Klip video itu yang disiarkan dalam akaun Instagram Trump, menunjukkan antaranya gambar bekas Presiden Bill Clinton berdiri di sebelah Lewinsky, pelatih Rumah Putih yang menjalin hubungan sulit dengan Clinton pada lewat tahun 1990-an. Juga ditayangkan tabloid New York yang memaparkan wajah Clinton dengan tajuk 'Penipu, Penipu,' selepas bekas presiden itu mengaku menjalin hubungan terlarang. Suara Hillary bekas Wanita Pertama, senator dan bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang menyampaikan mesej hak wanita juga dimainkan. "Hak wanita adalah hak asasi manusia dan hak asasi manusia adalah hak wanita, selama-lamanya. Mari berjuang untuk peluang dan harga diri." Selain isu membabitkan suami Hillary, ahli perniagaan terkemuka Amerika Syarikat itu juga menayangkan gambar Hillary di sebelah bekas anggota Kongres, Anthony Weiner, yang berundur daripada Dewan Perwakilan selepas didedahkan terbabit dalam skandal. Malahan, gambar Hillary dengan pelawak Bill Cosby, yang terbabit dalam dakwaan menyerang beberapa wanita secara seksual juga digunakan untuk menyerang pencabarnya.