JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo memendekkan kunjungannya ke Jawa Tengah pada Khamis untuk kembali ke Jakarta selepas ibu kota negara itu diserang dengan senjata dan bom, pagi Khamis. Presiden menggesa rakyat Indonesia tidak membuat sebarang spekulasi mengenai dalang di sebalik serangan itu yang telah membunuh sekurang-kurangnya enam orang. Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi turut menggesa rakyatnya supaya bertenang selepas berlaku kejadian yang digelarnya sebagai 'tindakan keganasan', dengan kebimbangan bahawa anggota pengganas masih berada di sekitar kawasan kejadian. "Negara dan rakyat kita tidak perlu takut, kita tidak akan dikalahkan oleh perbuatan keganasan," katanya dalam komen yang disiarkan oleh Metro TV. "Kita semua bersedih untuk mangsa yang terkorban dalam kejadian ini, tetapi kita juga mengutuk perbuatan yang mengganggu keselamatan dan keamanan serta menyebarkan keganasan di kalangan orang-orang kita," katanya. Sementara itu Pengarah Agensi Perisikan Negara Sutiyoso memberitahu Reuters bahawa tidak ada tanda-tanda bahawa kumpulan militan Negara Islam (IS) yang bertanggungjawab di sebalik serangan itu. "Ini semestinya satu tindakan keganasan tetapi setakat ini tidak ada tanda-tanda bahawa ISIS terlibat," kata Sutiyoso.