BANGKOK: Seorang wanita terbunuh, lapan yang lain cedera dalam dua serangan bom ke atas sebuah restoran berganding karaoke di daerah Thepa, Songkhla lewat malam Isnin. Ketua Polis Songkhla Maj. Jen Polis Krisakorn Palitanyawong berkata, kejadian berlaku pada 11.30 malam dan yang terkorban dikenali sebagai Wipawadee Roypuang, 28, dari daerah Na Chuak. "Bom kedua digunakan sebagai perangkap samar, meletup 15 minit kemudian. "Kami telah mengenal pasti dua anggota gerakan pembebasan Thai Selatan yang aktif di Khokpo dan empat daerah di Songkhla sebagai pihak bertanggungjawab," katanya kepada media pada Selasa. Katanya, semua yang cedera dan dimasukkan ke Hospital Songkla adalah pekerja dan pelanggan restoran itu, dengan empat dalam kedaan kritikal. Polis memperketat langkah berjaga-jaga terutama di 32 pintu masuk ke Hatyai, bandaraya yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan Singapura. Krisakorn menyangkal dakwaan yang kejadian itu ada kaitangan dengan serangan ganas di Jakarta, yang dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh.