suria

Kepingan Logam Mungkin Serpihan Roket - Syarikat Jepun

Nombor siri pada kepingan logam yang terdampar di pantai Thai.

NAKHON SI THAMMARAT: Kepingan logam yang terdampar di pantai Thai mungkin milik serpihan roket, kata sebuah syarikat dari Jepun pada Isnin.

Dakwaan itu timbul ketika pasukan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) membawa serpihan tersebut ke Bangkok untuk dianalisis.

"Langkah seterusnya adalah pemeriksaan, analisis dan membuktikan apa (serpihan) itu," kata Naib Marsyal Udara Porngsak Semachai.

Dua hari lepas, beberapa orang nelayan menjumpai serpihan dipercayai dari bangkai pesawat terdampar di pantai Pa Thya di Nakhorn Si Thammarat dan memaklumkan kepada pihak berkuasa, kerana percaya objek itu ada kaitan dengan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines.

Penerbangan MH370 yang dinaiki oleh 239 penumpang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Namun tugas tersebut kelihatan lebih mudah pada petang Isnin selepas sebuah syarikat dari Jepun, Mitsubishi Heavy Industries berkata imej dengan nombor siri itu yang menjadi viral mungkin milik salah satu roket keluaran mereka.

"Walaupun kita tidak boleh yakin dengan perkara ini, kami fikir ia mungkin sebahagian daripada roket jenis H-IIA atau H-IIB," kata jurucakap Mitsubishi Heavy Industries, Sayo Suwashita di Tokyo.

Roket tersebut merupakan kenderaan pelancar yang sering digunakan untuk menghantar satelit ke angkasa.

Syarikat tersebut membuat andaian awal selepas meneliti maklumat seperti bentuk serpihan dan nombor yang terdapat pada kepingan logam tersebut.






roket, serpihan logam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain