POSO: Gerakan memburu militan paling dikehendaki Indonesia yang juga ketua kumpulan Mujahidin Indonesia Timur (MIT) dipergiatkan apabila lebih 1,000 anggota pasukan tentera elit negara itu dikerah ke kawasan hutan di Sulawesi Tengah. Hutan di sini dipercayai menjadi tempat persembunyian Santoso yang juga dikenali sebagai Abu Wardah serta pengikutnya. Mereka didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan ke atas polis dan pos keselamatan di Sulawesi Tengah sejak 2011. Sejak Ahad, pasukan keselamatan telah mengepung sekitar kawasan hutan itu untuk menahan Santoso dan sekurang-kurangnya 40 anggotanya. Pemerintah operasi dan juga Ketua Polis Sulawesi Tengah Brigadier Jeneral Adham Azis berkata, operasi itu melibatkan anggota Batalion Peninjau Amfibi Tentera Laut dan Unit Khas Penyelam. Selain itu, katanya, kira-kira 800 anggota pasukan khas tentera (Kopassus) juga tiba di lapangan terbang Mutiara di Palu dengan dua pesawat Hercules. “Ada kumpulan dikerah memburu Santoso dan ada yang ditugaskan memecah belahkan pergerakan kumpulannya,” kata Adham. Pegawai sebelum ini mengaku sukar menangkap Santoso kerana tempat persembunyiannya jauh di dalam hutan dan sukar untuk dijejaki. Pihak berkuasa percaya MIT turut dianggotai seorang wanita asal Bima di tenggara Nusa Barat dan dua entik Uighur dari China.