suria

Warga Sepanyol Suspek Kes Bunuh Rakan Senegara Di Thailand

Polis Thai menunjukkan gambar suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan David Bernat.

BANGKOK: Polis Thailand mengenal pasti seorang warga Sepanyol sebagai dalang dan suspek utama kes bunuh rakan senegaranya, dengan beberapa anggota badan mangsa dijumpai terapung di Sungai Chao Phraya pada Rabu lepas.

Pada sidang media di sini, Jumaat, polis mengedarkan gambar suspek itu, yang dipercayai memainkan peranan utama dalam pembunuhan David Bernat, 40, yang bertugas sebagai penasihat sebuah syarikat asing.

Kes itu mendapat liputan meluas media kerana mangsa dibunuh dengan kejam.

"Susupek dipercayai masih berada di Thailand dan kami cuba mengesannya. Sesiapa yang terserempak dengan suspek diminta menghubungi polis," penasihat kanan Polis Thailand, Jen (Polis) Panya Mamen dipetik sebagai berkata oleh media tempatan pada sidang media itu.

Menurut polis suspek berusia 37 tahun itu disyaki sama ada menjadi dalang dalam komplot untuk menculik, memeras dan membunuh Bernat atau hanya sebagai pembunuh.

Pada 20 Januari lepas, Bernat dilaporkan hilang dari pangsapurinya di Khlong Toei di sini.

Pada Rabu, para pekerja menjumpai beberapa anggota badan manusia terapung di Sungai Chao Phraya yang kemudian disahkan milik mangsa.

Menurut media tempatan, Bernat sering mengunjungi Thailand.

Beliau tiba di ibu negara Thailand itu pada 19 Januari lepas dari Iran. - BERNAMA

bunuh, warga Sepanyol

Artikel Sebelum

Artikel Lain