USIANYA baru mencecah empat tahun, tetapi Isa Dare mengejutkan dunia apabila mampu bertindak ganas menekan butang peledak bom yang mengorbankan empat tahanan ISIS. Tindakan kanak-kanak lelaki warga Britain itu dipaparkan menerusi video berdurasi tujuh minit. Diberi jolokan 'Jihadi Junior' itu, bom yang diletupkan itu membunuh tahanan yang ditempatkan dalam sebuah kereta di tengah padang pasir. Insiden ini adalah yang kedua sejak budak lelaki itu dibawa ibunya, Grace Khadija Dare ke Syria tiga tahun lalu. Video terbaharu itu dipercayai dirakam di Raqqa yang menjadi pusat kegiatan ISIS. Rakaman itu juga menunjukkan komander kanan ISIS berdiri di sebelah Isa sambil mengugut Perdana Menteri Britain, David Cameron kerana menyasarkan pengganas di Syria. "Bersiap sedia tentera kamu kerana kami juga sedang mempersiapkan pasukan kami," kata komander berkenaan sambil meletakkan tangan pada kepala Isa. Sementara itu, datuk kepada Isa, Henry Dare, 59 berkata, beberapa hari sebelum insiden itu, cucunya telah menelefonnya merayu minta diselamatkan. Malahan bapa Isa juga dikatakan telah cuba menyelamatkan anaknya selepas isterinya ke Syria dan berkahwin dengan militan ISIS.