suria

Segumpal Rambut John Lennon Dilelong RM210,0000

WASHINGTON: Penampilan ahli kumpulan pop The Beatle mencetuskan fenomena baharu dalam industri hiburan sekitar 1960-an dan ternyata kegilaan peminat tidak pernah terpadam apabila ada yang sanggup membayar $35,000 (RM210,000) hanya untuk memiliki segumpal rambut John Lennon.

Rambut coklat keperang-perangan itu hasil kerja tangan pendandan rambut Jerman, Klaus Baruck dan digayakan Lennon untuk wataknya dalam filem "How I Won The War" pada 1966.

Berusia hampir 50 tahun, ia dilelong Heritage Auction pada Sabtu dan berjaya dibida oleh pengumpul barangan berharga British, Paul Fraser.

"Ini adalah gumpalan rambut John Lennon paling banyak yang  pernah ditawarkan untuk dilelong.

"Harga yang menjadi rekod dunia ini adalah testimoni jelas bahawa wujudnya kecintaan dan pesona serta tarikan kepada Lennon dan The Beatles,"  kata Pengarah Memorabilia Muzik Heritage, Garry Shrum.

Menerusi filem arahan Richard Lester itu, Lennon melakonkan watak Prebet Gripweed yang menampilkannya dengan gaya kaca mata bulat yang dipakai sepanjang hidupnya.

Pada sesi lelongan itu juga, gambar Lennon sebelum rambutnya digunting juga dijual pada harga $2,125 (Hampir RM13,000), manakala gambar yang ditandatangani semua ahli kumpulan The Beatle pula dilelong sebanyak $42,500 (RM256,000).





 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain