RIBUAN anggota polis dan tentera Indonesia berkawal di sekitar lubuk pelacuran terkenal, Kalijodo bagi memudahkan operasi meroboh bangunan di situ pada Isnin. Ia susulan keputusan untuk menutup kegiatan yang menimbulkan masalah sosial di negara itu. Jurucakap polis Jakarta, Senior Komisioner Muhammad Iqbal berkata, ia juga melibatkan kawalan trafik di kawasan berkenaan. "Kami akan memastikan tidak berlaku sebarang masalah keselamatan, termasuk pergaduhan atau kesesakan lalu lintas," katanya seperti dilaporkan The Jakarta Post. Pentadbir bandaraya itu mengeluarkan amaran ke tiga dan terakhir kepada penduduk Kalijodo pada Ahad mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing. Ketua Polis Jakarta, Inspektor Jeneral Tito Karnavian dijadualkan memantau tugas yang dijalankan pegawainya pada Isnin, tambah Iqbal lagi. Sebelum ini, penduduk Kalijodo meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Indonesia susulan keputusan untuk merobohkan bangunan sekali gus menutup kegiatan di situ. Bagaimanapun, kerajaan masih bertegas meneruskan rancangan berkenaan kerana bimbang kadar jenayah sosial terus meningkat terutama melibatkan generasi muda.