suria

Enggan Bangun Tidur Ke Sekolah, Remaja Di AS Tembak Ahli Keluarga

SINGAPURA: Seorang remaja didakwa melepaskan tembakan ke arah ahli keluarganya selepas berlaku pergaduhan mengenai 'bangun pagi untuk ke sekolah'.

Menurut akhbar tempatan The Tennessean, pergaduhan  tercetus apabila seorang saudaranya cuba mengejutkan remaja berusia 16 tahun yang tidak dinamakan dari katil di apartmen kediaman mereka di East Nashville, Tennessee, Selasa pagi.

"Berlaku satu pertengkaran mengenai bangun pagi dan bersiap sedia ke sekolah apabila dia kemudian berlari ke almari dan mengambil pistol 9mm lalu melepaskan tembakan," kata jurucakap polis Nashville, Kris Mumford kepada akhbar itu.

Nenek kepada remaja itu yang berusia 67 tahun, Earline Hill, ditembak dua kali. Adik perempuannya yang berusia 12 tahun dan anak saudara yang berusia enam tahun turut terkena peluru.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke hospital untuk rawatan dan dijangka pulih sepenuhnya kerana kecederaan mereka tidak mengancam nyawa, kata akhbar itu.

Turut mengacukan senjata kepada ibunya, Sheryl Williams yang berusia 42 tahun, ia bagaimanapun sempat dielak dengan bersembunyi di belakang sofa di ruang tamu. Adik perempuannya yang berusia dua tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia kemudian membuang senjata itu berhampiran kawasan kediamannya dan melarikan diri dari rumah dengan berjalan kaki, kata polis.

Jurucakap sekolah berkata, enam sekolah berdekatan, termasuk sebuah sekolah yang dijadikan tempat mengundi untuk pilihan raya utama Tennessee, terpaksa ditutup kerana kejadian itu.

Remaja itu ditahan selepas polis menemuinya sedang berjalan di sepanjang landasan kereta api, kurang dari satu kilometer dari rumahnya.

Polis berkata, mereka dimaklumkan oleh ahli keluarga remaja itu bahawa mereka tidak tahu terdapat pistol disimpan di dalam almari.

Dia telah didakwa di Mahkamah Juvana dengan empat pertuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan tindakan melulu yang membahayakan.

Menurut kenyataan Jabatan Polis Metropolitan Nashville remaja itu belajar di Pusat Pembelajaran Alternatif Johnson, yang mengambil pelajar yang telah dibuang sekolah. - The Straits Times / Asia News Network

Artikel Lain