MANILA: Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) disahkan dijangkiti virus Zika ketika melawat Filipina, demikian menurut jabatan kesihatan negara itu. Ia adalah kes pertama yang dikesan di Filipina. Setiausaha jabatan itu, Janette Garin berkata, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS memaklumkan perkara itu. "Wanita berkenaan berada selama empat minggu di Filipina pada Januari lalu dan kini dikesan menunjukkan adanya simptom virus itu pada minggu terakhir sebelum kembali ke Amerika," katanya. Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui bagaimana wanita berkenaan terkena jangkitan virus berkenaan.--AFP