KABUL: Google mengorak langkah mengekang pengaruh kumpulan militan Afghanistan dengan membuang aplikasi telefon pintar Taliban dari kedai dalam taliannya. Gergasi internet Amerika Syarikat (AS) itu bertindak sedemikian bagi membendung penyebaran dakyah kumpulan pengganas itu. AFP melaporkan, Taliban menyertai dunia aplikasi telefon pintar Jumaat lalu menggunakan bahasa Pashto digelar "Alemarah" untuk menyebarkan kenyataan dan video propaganda kumpulan itu. Tindakan kempen digital kumpulan itu pertama kali dilaporkan SITE Intelligence Group yang berpusat di AS. Menerusi media sosial, ia dapat memantapkan lagi operasi Taliban menerusi laman webnya dengan lima bahasa termasuk Inggeris. Bagaimanapun, sebaik dikesan sehari selepas pelancarannya, aplikasi terbabit tidak lagi boleh dimuat turun dari Google Play Store. Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid memberitahu AFP kelmarin bahawa 'jabatan teknologi' kumpulan militan itu berusaha menghasilkan aplikasi versi bahasa Parsi. Pencapaian itu sekali gus meletakkan Taliban antara kumpulan militan yang berjaya membangunkan pasukan perhubungan awam pakar media menggunakan teknologi digital untuk lebih dekat dengan masyarakat dunia.