suria

Wartawan Enggan Pulangkan Serpihan MH17

Serpihan pesawat MH17 di lokasi nahas dekat sebuah perkampungan Hrabove, Ukraine.

SYDNEY: Polis Australia memberi amaran kepada seorang warga negaranya supaya memulangkan serpihan dan barangan yang diambil dari lokasi kejadian nahas pesawat MH17 berdekatan sempadan Ukraine-Rusia.

Generasi pertama Australia-Ukraine, Demjin Doroschenko dikatakan berada di wilayah itu dengan bekerja sebagai wartawan bebas ketika pesawat MH17 ditembak jatuh.

Pesawat penumpang itu meletup di udara pada Julai 2014 mengorbankan semua 298 orang di dalam pesawat.

Kebanyakan penumpang di dalam pesawat itu adalah warga Belanda.

Pada tahun lalu, Lembaga Keselamatan Belanda menegaskan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia.

Doroschenko, 45, berkata dia antara individu pertama yang tiba di lokasi nahas dan menubuhkan sebuah pasukan penyelamat sendiri yang dikenali sebagai Donbass Recovery Team.

Dia mengutip ratusan objek berupa bukti sebagai bahan simpanannya yang tidak ditemui oleh tentera Rusia.

"Ia perlu diselamatkan atau Rusia akan menggunakan sebarang objek lain untuk tindakannya menentang kes yang dibentangkan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT)," katanya.

Dia juga mendakwa sudah menyerahkan beberapa serpihan berkenaan kepada pihak berkuasa di Kiev namun masih menyimpan ratusan bahan bukti yang lain.

Doroschenko, yang dilaporkan masih di Ukraine, berkata dia menawarkan barangan itu kepada agensi berita, AFP dan pihak berkuasa Belanda yang mengetuai JIT, dan menuntut pembayaran kos pengangkutannya.

Bagaimanapun pihak berkenaan enggan memenuhi permintaannya itu.

Menurut AFP, mereka menyedari objek berkenaan adalah barangan peribadi penumpang dari Australia yang diambil dari lokasi nahas dan sudah memberi amaran kepada Doroschenko.

"Barangan itu diambil dari lokasi nahas MH17 dan ia tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan mendapatkan keuntungan dan habuan.

"Jika ini dilakukan boleh memberi kesan kepada keluarga dan waris mangsa yang mahu penyiasat mendapatkan seberapa banyak bahan bukti terhadap nahas itu.

"AFP dan JIT sedar bahawa Doroschenko melawat tapak nahas MH17 dan kami membantunya bagaimana untuk memberikan objek atau serpihan berkenaan kepada JIT.

"Sebarang kesalahan jenayah membabitkan pengambilan harta milik mangsa MH17 (termasuk Malaysia Airlines) adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Ukraine dan Malaysia," kata AFP.

Doroschenko berkata, dia tidak mahu mengikut protokol pemulangan serpihan itu yang perlu melalui Datuk Bandar tempatan yang didakwanya bekerjasama dengan tentera Rusia.

Pada Januari lalu, dia ditahan oleh pegawai sempadan Ukraine dan disoal siasat mengenai pekerjaannya di kawasan itu sebelum dibebaskan.

Salah satu daripada ratusan objek yang didakwa berada dalam simpanannya ialah beg galas belakang milik mangsa dari Toowoomba, Jill Guard.

MH17, MAS, Australia, wartawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain