PETALING JAYA: Seorang warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara lima tahun tujuh bulan di New Zealand selepas menyimbah kepala rakan sekerjanya dengan air panas. Menurut New Zealand Herald, Kian-Wee Show, seorang rakyat Malaysia yang menggunakan visa pekerja mengaku bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan dengan niat. Show didakwa menyerang warga China, Bin Wu kerana marah selepas mangsa mengambil sepotong sosej teman wanitanya sehari sebelum insiden tersebut. Wu menerima rawatan di hospital selama dua minggu akibat melecur dan mungkin memerlukan masa selama dua tahun lagi untuk pulih sepenuhnya. Kejadian berlaku di kafeteria kakitangan Turners & Growers Packhouse di pinggir bandar Whakatu Hastings, New Zealand pada Julai tahun lalu. Show mengambil satu baldi air panas sebelum bertindak menyimbah air panas di belakang, leher dan bahu Wu. Sebaik sahaja mangsa dikejarkan ke bilik pertolongan cemas, seorang pekerja lain bersemuka dengan Show dan memukul kepalanya dengan baldi. Sejurus insiden itu, Show kembali ke tempat duduknya dan terus menikmati makanannya. Mangsa melecur kira-kira 15 peratus di anggota badannya.