suria

Pelajar Muslim Kesal Disangka Isis Philips

Bayan Zehlif pada sidang media bersama peguam Muslim di kawasan penempatannya di California.

BAYAN Zehlif, pelajar wanita beragama Islam kesal apabila dikenali sebagai "Isis Philips" dalam buku tahunan sekolahnya di Selatan California.

Berusia 17 tahun, pelajar senior itu berkata, identitinya dikaitkan dengan individu yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

"Saya kesal dengan kesilapan yang dilakukan terutama apabila dikecam rakan sekelasnya di Sekolah Tinggi Los Osos.

"Setiap kali melihat buku tahunan itu, ia melukakan hati dan ia lebih menyakitkan apabila rakan sekelas menjauhkan diri," katanya kepada wartawan pada sidang media bersama peguam komuniti Muslim di Anaheim, California.

Menurut pelajar yang keluarganya berasal dari Jordon itu, dia tidak mengenali Isis Philips, tetapi tahu gadis berkenaan bersekolah di Rancho Cucamonga.

Menerusi Facebooknya, dia memuatnaik gambar dirinya berhijab dengan keterangan salah sepertimana dicetak dalam buku tahunan sekolahnya.

Sehingga ini, Zehlif masih tidak ke sekolah kerana bimbang terus dikecam rakan sekelasnya tetapi berhasrat untuk menghadiri majlis graduasi minggu depan.

Sementara itu, Mat Holton yang mewakili pihak pengurusan sekolah tinggi daerah berkata, Zehlif disangka pelajar lain yang bernama Isis.

Pelajar yang dikenali sebagai Isis itu bagaimanapun tidak lagi bersekolah di situ dan berlaku kesilapan pada keterangan gambarnya dalam buku sama.

Holton berkata, siasatan sedang dijalankan untuk meleraikan persoalan ini.

"Keluarga kedua-dua pelajar terlibat juga telah dihubungi dan permohonan maaf juga telah disampaikan," katanya.

Setakat ini, pengagihan buku tahunan sekolah itu dihentikan sehingga kesilapan diperbetulkan dan bagi yang telah menerimanya diminta memulangkannya kepada pihak sekolah.

"Baki buku tahunan yang ada akan dibetulkan kesilapannya sebelum akhir minggu ini sebelum ia diedarkan semula," katanya.

Artikel Lain