ANKARA: Menteri Pengangkutan Turki, Binali Yildirim secara rasmi akan dilantik sebagai ketua parti pemerintah dan perdana menteri baharu pada Ahad. Yildirim merupakan satu-satunya calon pada kongres luar biasa bagi Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) pada Ahad bagi memilih ketua parti, yang turut bermaksud beliau akan menjadi perdana menteri. Beliau akan memperkukuhkan cengkaman kuasa mentornya, Presiden, Recep Tayyip Erdogan. Yildirim yang berusia 60 tahun itu akan menggantikan Ahmet Davutoglu yang mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ketua parti. Perdana Menteri Turki baharu ini dijangka akan menyokong matlamat Erdogan yang ingin mengubah perlembagaan untuk mewujudkan satu sistem presiden dan bukan satu Parlimen semasa. - AFP