suria

Duterte Boikot Wartawan

DAVAO: Bakal presiden baharu Filipina, Rodrigo Duterte terus menimbulkan kemarahan warga kerja akhbar dan stesen televisyen apabila memutuskan untuk tidak mengadakan sidang media serta memulaukan wartawan.

Tindakannya itu dikatakan bagi mengurangkan kesilapan Duterte apabila dia mengangkat sumpah jawatan presiden negara itu secara rasmi pada 30 Jun ini.

“Saya minta maaf. Saya memang benar memboikot wartawan,” katanya dalam video yang dimuat naik wartawan stesen televisyen Filipina, TV5, France Noguera.

Apabila ditanya sampai bila dia akan memulaukan media, Duterte berkata: “Sehingga penggal perkhidmatan saya sebagai presiden berakhir.”

Duterte turut menyuarakan rasa kesalnya  selepas beberapa kenyataan akhbarnya sebelum ini mendapat kecaman hebat.

“Apabila diwawancara, terdapat banyak kesilapan, banyak kritikan saya terima. Lebih baik tidak ada wawancara, supaya tidak ada kritikan, tidak ada kenyataan yang tersilap, tidak ada apa-apa,” katanya apabila disoal mengapa dia mengambil keputusan berhenti menemui media.

Menurutnya, pengumuman kerajaan akan dilakukan menerusi stesen televisyen milik kerajaan, PTV.

Duterte yang menjadi Datuk Bandar Davao selama hampir 30 tahun mempunyai hubungan rapat dengan wartawan tempatan bandar berkenaan.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbar yang dihadiri media asing, pemimpin itu membuat beberapa kenyataan yang mencetuskan kontroversi.

Antaranya kenyataan Duterte yang menimbulkan kemarahan adalah:“Kebanyakan yang mati itu melakukan kesalahan. Anda tidak akan dibunuh jika tidak melakukan kesalahan."

Susulan itu dia dikritik media tempatan dan antarabangsa selepas ditanya mengenai pembunuhan wartawan di Filipina, antara negara paling berbahaya untuk wartawan.


























Rodrigo Duterte, Filipina, media

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain