JAKARTA: Kerajaan Indonesia melupuskan sebanyak 3,143 und ang-undang kerajaan tempatan termasuk 111 undang-undang yang dibawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri mulai Julai depan.
Media tempatan memetik Ketua Pengarah Kementerian Dalam Negeri Soni Sumarsono sebagai berkata undang-undang yang dilupuskan itu kebanyakannya berkaitan dengan peraturan perniagaan dan pelaburan asing.
Katanya undang-undang yang dihapuskan itu bukan kerana ia bermasalah, tetapi kebanyakannya didapati melembabkan proses perniagaan dan pelaburan asing di samping terdapat juga yang bercanggah dengan undang-undang pusat.
Soni berkata kerajaan pusat mendapati terdapat undang-undang yang menyebabkan seseorang ahli perniagaan terpaksa berurusan dengan banyak pihak dan dengan pelupusannya membolehkan kerajaan memperkenalkan satu pusat sehenti bagi urusan pelaburan dan perniagaan.
Baru-baru ini Presiden Joko Widodo mengeluarkan arahan pelupusan beribu-ribu undang-undang kerajaan tempatan dan mahu negara republik itu memudahkan urusan perniagaan.
Saya tegaskan bahawa pembatalan (undang-undang) ini untuk menjadikan Indonesia sebagai bangsa yang besar, yang toleran dan yang memiliki daya saing, katanya.