Perdana Menteri Turki Binali Yildirim telah menuding jari terhadap Negara Islam (IS) berhubung serangan pada Rabu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang dan mencederakan 239 yang lain walaupun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab.
Salah seorang mangsa yang maut adalah seorang warga Tunisia, dikenal pasti sebagai Fathi Bayoudh, seorang doktor yang dilaporkan berada di Turki selama beberapa minggu dalam usaha untuk membawa pulang anaknya.
Anak lelaki Bayoudh telah dituduh menyertai IS di Syria, sumber Kementerian Luar dipetik sebagai berkata oleh stesen radio swasta Tunisia, Mosaique FM.
Sumber Kementerian Pertahanan di Tunisia berkata Bayoudh berada di Lapangan Terbang Ataturk untuk bertemu dengan isterinya ketika tiga serangan bunuh diri melanda.
Ketua Hal Ehwal Konsular di Kementerian Luar Tunisia, Faycal Ben Mustapha memberitahu AFP bahawa konsulat Tunisia di Istanbul telah berhubungan 'dengan keluarga Bayoudh sejak Disember'.
"Ia ada kaitan anak mereka. Kita tidak tahu apa yang dia telah lakukan, tetapi dia pergi ke Iraq dan kemudian Syria dan berakhir dalam tahanan di Turki," katanya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan mengesahkan warga Tunisia itu yang berada di Turki atas urusan peribadi telah terbunuh dalam serangan semalam.
Kumpulan IS telah menjalankan siri serangan bom di Turki sejak tahun lepas.
Tunisia juga telah menjadi mangsa beberapa serangan yang didakwa oleh IS, dan difahamkan beribu-ribu rakyat Tunisia sanggup keluar dari negara mereka untuk menyertai organisasi jihad di Syria, Iraq, dan negara jiran, Libya.