suria

Penembak Hendap Dallas Dikenal Pasti

Micah Johnson.

DALLAS: Polis pada Sabtu mengesahkan lelaki bersenjata yang menembak mati lima anggota polis dalam serangan hendap di Dallas dikenali sebagai Micah Johnson, bekas anggota tentera berusia 25 tahun.

Johnson yang dilaporkan berasal dari Mesquite, Texas dipercayai bertindak 'berseorangan' dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Dalam serangan hendap itu, Johnson melepaskan tembakan terhadap 12 anggota polis, lima daripadanya maut manakala tujuh cedera, sebelum polis menembaknya mati.

"Mayat suspek sudah dikenal pasti sebagai Micah Johnson.

"Semasa polis menggeledah kediaman suspek, pasukan penyiasat menemui bahan untuk membuat bom, jaket balistik, senapang, bahan letupan dan jurnal mengenai taktik peperangan," demikian menurut Jabatan Polis Dallas.

Polis memberitahu Johnson merujuk dirinya sebagai Richard Griffin di laman Facebook miliknya iaitu anggota kumpulan rap dalam Public Enemy, atau nama panggilannya sebagai Professor Griff.

Awal pagi Jumaat, Rumah Putih menegaskan siasatan awal menolak kemungkinan insiden tembakan di Dallas tiada kaitan dengan pengganas domestik atau antarabangsa.

Namun dalam sidang media di New York, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Jeh Johnson berkata, lelaki bersenjata berkenaan hanya bertindak bersendirian.

Tentera AS sebelum itu mengesahkan Johnson pernah berkhidmat dalam angkatan tentera AS di Afghanistan dari November 2013 hingga Julai 2014. 

Artikel Lain