SEOUL: Seorang pembelot Korea Utara yang tinggal di Korea Selatan ditahan di Pyongyang pada Jumaat kerana mempunyai konspirasi bersama ejen perisik Seoul untuk menculik kanak-kanak dari Korea Utara. Menurut agensi berita Jepun Kyodo, lelaki berusia 53 tahun yang dikenali sebagai Ko Hyon-chol itu mengaku telah melakukan cubaan menculik dua kanak-kanak perempuan yatim piatu dari Korea Utara. "Saya melakukan jenayah yang tidak boleh diampun kerana terlibat dalam penculikan kanak-kanak," katanya dalam sidang akhbar untuk media asing di Pyongyang. Tambahnya dia telah dihantar oleh Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan (NIS) ke bandar Dandong, sempadan China untuk menculik anak-anak yatim dari Korea Utara. Hasil siasatan yang dijalankan, dia menerima tawaran sejumlah RM39,500 ($10,000) bagi setiap kanak-kanak yang diculik. Ko ditahan selepas menyeberangi sungai memasuki Korea Utara dari China pada bulan Mei lalu. Sementara itu, NIS menafikan sebarang penglibatan dalam kes yang dilaporkan. Mengikut laporan yang diterima, Ko melarikan diri dari Korea Utara pada 2013 dan menetap di China selama setahun sebelum tiba di Korea Selatan pada 2014.