suria

22 Mayat Migran Ditemui Dalam Bot

ROME: Sejumlah 21 mayat wanita dan seorang lelaki migran ditemui dalam bot pelampung getah berhampiran pantai Libya pada Rabu.

Menurut kumpulan misi kemanusian Medecins Sans Frontieres (MSF), kesemua 22 mangsa tersebut mati selepas beberapa jam belayar menuju ke Itali.

Kapal MSF yang meronda di laut Mediterranean tersebut berjaya menyelamatkan 209 orang termasuk 50 kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, 22 migran tidak berjaya diselamatkan dan ditemui mati terbaring di bahagian bawah bot serta berlumuran bahan api.

"Masih tidak jelas apa yang terjadi disini tetapi kematian mereka amat mengerikan. Kejadian ini sangat tragis.

"Buat masa ini kita lihat seolah-olah air dan bahan api bergabung bersama dan asap tebal yang terhasil membuatkan mereka lemas lalu tidak sedarkan diri," kata ketua misi dan menyelamat MSF, Jens Pagotto kepada Reuters melalui telefon.

Sebahagian besar daripada mereka yang terselamat berasal dari negara-negara Afrika Barat seperti Nigeria dan Guinea.

Mereka akan dibawa ke Sicily bersama-sama dengan mayat tersebut dan dijangka akan sampai di pelabuhan Trapani pada Jumaat.

pendatang asing, mediterranean

Artikel Berikut

Artikel Lain