suria

Wartawan Mati Ditembak Depan Isteri, Anak

Pedro Tamayo Rosas

COATZACOALCOS: Seorang wartawan Mexico ditembak mati di hadapan isteri dan dua anaknya di luar rumah mereka, di kawasan yang kerap berlaku kes jenayah.

Pedro Tamayo Rosas, 45, yang bekerja untuk dua akhbar online di Veracruz telah terbunuh pada Rabu di bandar Tierra Blanca, lapor pendakwa raya.

"Siasatan awal menunjukkan terdapat dua penyerang menghampiri Tamayo dan menegur perniagaan kecil yang dijalankan di rumahnya," kata pejabat pendakwa Veracruz dalam satu kenyataan.

Seorang ahli keluarga yang tidak mahu namanya didedahkan berkata Tamayo berada di luar rumah untuk membantu isteri, anak lelaki serta anak perempuannya untuk membuka kiosk makanan sebelum dia dibunuh.

Lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan dan melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

Tamayo dilaporkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa tidak menolak motif pembunuhan tersebut melibatkan kerjayanya sebagai wartawan.

Tamayo dikatakan berkhidmat untuk media El Pinero de la Cuenca dan Al Calor Politico.

Menurut kumpulan media antarabangsa, Mexico adalah antara negara yang paling berbahaya di dunia bagi menjalankan tugas sebagai wartawan kerana terdapat lebih daripada 90 pekerja media terbunuh dan 17 yang lain telah hilang sejak 2000.

Seramai 19 wartawan telah dibunuh di Veracruz dalam tempoh enam tahun yang lalu.

wartawan, mexico, bunuh

Artikel Lain