TOKYO: Seorang lelaki Jepun yang disyaki menikam dan membunuh 19 pesakit orang kurang upaya (OKU) di bandar kecil di sini telah dibawa ke pejabat pendakwa raya. Laporan NHK menyebut, suspek kes pecah masuk ke kemudahan yang menempatkan OKU Tsukui Yamayuri-En di Sagamihara itu adalah bekas pekerja di situ. Lelaki berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Satoshi Uematsu dibawa dari penjara wilayah di bandar Sagamihara, kira-kira 45 kilometer di barat daya Tokyo, ke pejabat Pendakwa Raya Daerah Yokohama di wilayah Kanagawa. Dalam serangan awal pagi itu, berpuluh-puluh penghuni lain turut mengalami kecederaan. Selain itu, agensi berita Kyodo pula melaporkan Uematsu menyerah diri kepada polis selepas melakukan pembunuhan itu. Februari lalu, menerusi surat yang ditulisnya, Uematsu mengakui mampu "memusnahkan 470 orang kurang upaya". - Reuters