SINGAPURA: Magik Harry Potter melanda Asia pada pagi Ahad selepas orang ramai memenuhi kedai buku berdekatan untuk dapatkan cetakan pertama siri terbaharu ahli-ahli sihir yang kini sudah meningkat dewasa. Majlis pelancaran buku Harry Potter and the Cursed Child telah diadakan beberapa jam selepas perasmian perdana di London dan siri yang dinantikan itu dikatakan mampu menawan pembaca serta penonton filem di seluruh dunia. Hampir 300 peminat Harry Potter berkumpul di hadapan pintu kedai buku, Kinokuniya di Orchard Road pada pukul 7 pagi untuk menjadi salah seorang yang pertama di dunia membaca skrip baharu siri tersebut. Pelajar, Samantha Chua, 24 merupakan peminat pertama yang beratur bersama teman lelakinya berkata dia menunggu di luar kedai buku di aras empat tersebut sejak pukul 5 pagi. "Kami berada di sini begitu awal dan pusat membeli-belah ini belum lagi dibuka jadi kami terpaksa masuk melalui lif kargo. "Saya membesar dengan membaca buku-buku Harry Potter dan saya mempunyai rak khas istimewa untuk menyimpan kesemua koleksi yang ada tetapi buku baharu ini akan menjadi barang paling berharga buat saya," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa penantian tersebut adalah berbaloi. Siri kelapan Harry Potter ini menceritakan kisah kehidupan Potter selepas 19 tahun pengakhiran buku terakhir siri itu dan memfokuskan wataknya yang lebih dewasa serta dia kini bekerja di Kementerian Magik. Seangkatan dengan peminat siri ini, Potter menjadi seorang lelaki dewasa dan mempunyai tiga orang anak dengan isterinya Ginny Weasley. Dia juga masih memakai cermin mata bulat dan mempunyai bekas luka di kepalanya yang dihasilkan oleh musuhnya Lord Voldemort tetapi dia perlu membantu anak bongsunya Albus berhadapan dengan kisah gelap keluarganya -AFP