SEKURANG-kurangnya 70 maut dalam insiden pengeboman berani mati di hospital di Baluchistan, Pakistan pada Isnin. Kejadian berlaku semasa orang ramai sedang berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir kepada seorang peguam yang mati dibunuh. Serangan itu melibatkan lebih 100 hadirin, kebanyakannya peguam dan wartawan yang berada di bahagian kecemasan bagi mengiringi jenazah seorang peguam, yang maut ditembak di bandar itu pada Isnin. "Ramai yang cedera, angka kematian dijangka terus meningkat," kata menteri kesihatan wilayah Baluchistan, Rehmat Saleh Baloch. Puak Taliban, Jamaat-ur-Ahrar mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu. "Puak Taliban di Pakistan, Jamaat-ur-Ahrar bertanggungjawab terhadap serangan ini, dan akan meneruskan serangan seumpamanya. "Kita akan mendedahkan satu video mengenai laporan berhubung perkara ini tidak lama lagi," kata jurucakap, Ehsanullah Ehsan menerusi kiriman emel. Pegawai kanan polis, Nadeem Shah memberitahu Reuters bahawa jenazah peguam dikenal pasti sebagai Bilal Anwar Kasi yang maut ditembak semasa dalam perjalanannya ke kompleks utama di bandar itu. Seorang jurucakap bagi kerajaan Baluchistan berkata, serangan berani mati tersebut dikatakan menyasarkan kumpulan yang berkabung di atas pemergian peguam itu. "Ia dilihat sebagai serangan yang telah dirancang awal," katanya. Polis mengawal keadaan di sekitar hospital susulan serangan itu. - Mirror