BANGKOK: Seorang lelaki warga Iran yang disyaki menjadi dalang di sebalik sindiket pemalsuan pasport antarabangsa telah diekstradisi ke Thailand dari Malaysia baru-baru ini. Suspek itu turut mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas yang bertanggungjawab melakukan pengeboman di Bangkok pada 2012. Peguamnya, Worrasit Piriyawiboon memberitahu Bernama bahawa anak guamnya tiba di Bangkok pada 22 Julai lalu. Lelaki tersebut kini ditahan di Pusat Tahanan Reman, Bangkok. "Anak guam saya akan hadir ke mahkamah untuk pra perbicaraan pada 26 September ini. Dia didakwa terlibat dengan pemalsuan dokumen perjalanan," katanya di sini. Worrasit berkata dia dilantik secara rasmi untuk mewakili lelaki itu tiga hari selepas suspek diekstradisi dari Malaysia dan dijadualkan bertemu anak guamnya di pusat tahanan reman itu lewat hari ini. Satu sumber keselamatan yang enggan dikenali mengesahkan perkara itu dengan berkata suspek berjaya diekstradisi menerusi kerjasama antara Thailand dan Jabatan Peguam Negara. Suspek ditahan polis Malaysia di luar Bangunan Perkeso di Jalan Ampang pada 3 Ogos 2013. Sejak itu, dia ditahan sehingga diekstradisi ke Thailand. Polis Malaysia mengesahkan penahanan warga Iran itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas) Bukit Aman Datuk Mohamad Fuzi Haron.