suria

Penumpang Pesawat Mendarat Cemas Di Dubai Menang Loteri $1 Juta

DUBAI: Penumpang pesawat yang mendarat cemas di lapangan terbang di sini, Mohammad Basheer Abdul Khadar tidak menyangka pengalaman ngeri yang dilalui baru-baru ini ada hikmah disebaliknya.

Dalam tempoh seminggu, warga India yang menetap di bandar ini telah memenangi cabutan loteri anjuran operator bebas cukai lapangan terbang berkenaan yang bernilai $1 juta.

Gulf News melaporkan, ketika kejadian pesawat Boeing 777 itu terbakar dan terpaksa melakukan pendaratan cemas, lelaki berusia 62 tahun itu bersama keluarganya dari India.

Kejadian pada Khamis lalu itu menyebabkan lapangan terbang paling sibuk di Timur Tengah itu ditutup beberapa jam, selain ratusan penerbangan dibatalkan.

Bagaimanapun, semua penumpang dapat diselamatkan tanpa sebarang kecederaan, kecuali seorang anggota bomba terkorban ketika cuba memadamkan kebakaran pesawat itu.

Hanya enam hari selepas itu, Khadar mendapati tiket loteri yang dibelinya ketika dalam perjalanan pula ke kampung halamannya itu kini bernilai $1 juta.

Tiket bernombor 845 dalam cabutan "Jutawan Milenium" memihak kepada Khadar yang bertugas di sebuah syarikat kenderaan di sini.

"Selama ini saya menjalani kehidupan sederhana dan kini tiba masanya untuk bersara. Saya rasakan seolah-olah Tuhan memberikan peluang kedua untuk hidup selepas terselamat dalam insiden pendaratan cemas itu dan seterusnya menganugerahkan wang ini sebagai balasan kepada perbuatan baik yang saya lakukan," katanya kepada Gulf News.

Khadar yang menetap di Dubai sejak 37 tahun lalu telah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata, termasuk seorang anak lumpuh.

Kini beliau berhasrat untuk pulang ke Kerala dan bersara serta menggunakan wang yang dimenanginya untuk membantu kanak-kanak di kampungnya.




Dubai, Jutawan Milenium, loteri

Artikel Berikut

Artikel Lain