SINGAPURA: Parlimen Singapura merancang untuk mengemukakan usul merakam ucapan tahniah kepada Joseph Isaac Schooling kerana kejayaannya memenangi pingat emas Olimpik pada Isnin, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong. "Usul itu akan merupakan pengiktirafan secara rasmi parlimen terhadap pencapaiannya. Saya berharap dia akan berada di sana dengan keluarganya dan kata Schooling, dia akan berbuat demikian. "Saya buat panggilan kepada Joseph Isaac Schooling di Rio untuk mengucapkan tahniah kepadanya. Saya katakan kepadanya saya menonton siaran langsung perlumbaan itu dan mengikuti sidang akhbarnya. Dia mempamerkan persembahan yang amat cemerlang dan menyatakan sesuatu yang cukup membanggakan kepada akhbar. Kita semua berbangga dengannya. "Joseph memberitahu saya dia akan menaiki pesawat beberapa jam lagi dan akan sampai di Singapura pada pukul 5 pagi Isnin," tulis Lee dalam catatan Facebooknya pada lewat Sabtu. Parlimen Singapura akan bersidang pada Isnin. Usul itu akan menyuarakan sokongan untuk pasukan Singapura di Rio 2016, katanya. "Tidak sabar hendak berjumpa Joseph Isnin ini dan menyampaikan sendiri ucapan tahniah kepadanya," tulis beliau. Pada Sabtu, Lee mengucapkan tahniah kepada Schooling kerana mengharumkan nama Singapura dengan memenangi pingat emas pertama Olimpik untuk negara itu. Schooling mengatasi perenang pujaannya, Michael Phelps dari Amerika Syarikat dengan masa satu saat, yang menamatkan perlumbaan itu dengan masa 51.14s untuk berkongsi tempat kedua dengan perenang Afrika Selatan Chad le Clos dan Laszlo Cseh dari Hungary. Dengan pencapaian itu, Schooling juga memecahkan rekod yang dicipta Phelps pada Olimpik Beijing 2008 iaitu 50.58s. Schooling juga, antara lain akan diingati kerana ungkapan kata-katanya yang berbunyi "..orang dari negara paling kecil di dunia juga boleh melakukan sesuatu yang luar biasa." - BERNAMA