JAKARTA: Asap jerebu yang dikesan mula bergerak melintasi Selat Melaka menuju ke Malaysia dan Singapura mendorong agensi pengurusan bencana Indonesia menggesa langkah segera diambil bagi menangani masalah kebakaran hutan di negara itu. Malahan, saranan juga dibuat supaya tindakan dikenakan terhadap syarikat perladangan yang menggunakan kaedah tebang dan bakar untuk membersihkan tanah. Setiap tahun, Indonesia yang mempunyai hutan tropika ketiga terbesar di dunia dikritik aktivis alam sekitar dan negara jiran di Asia Tenggara kerana gagal menghalang kegiatan pembakaran hutan. “Asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Riau mula memasuki Selat Melaka. Marilah menghalang dan memadamkan kebakaran ini,” kata jurucakap agensi berkenaan, Sutopo Nugroho di akaun Twitternya, @Sutopo_BNPB pada Jumaat. Kata Sutopo lagi, sejak seminggu lalu, bilangan titik panas di Kalimantan Barat telah meningkat dengan mendadak. Bagaimanapun, katanya, cuaca kering menyukarkan usaha memadamkan kebakaran yang dijangka kritikal sehingga Oktober depan. "Pengumuman awal darurat kebakaran di lima wilayah di Indonesia tahun ini bagaimanapun membantu membendung api daripada terus merebak seperti pada 2015," katanya apabila masalah itu diburukkan lagi oleh fenomena cuaca El Nino. “Tindak balas termasuk daripada Agensi Pengurusan Bencana Nasional juga lebih cepat dan lebih baik. Pada tahun lalu, perisytiharan darurat dibuat hanya selepas kebakaran ini merebak dengan begitu meluas,” katanya. Jerebu tebal akibat pembersihan hutan kerap datang dari Pulau Sumatera dan wilayah Kalimantan di mana banyak konsesi hutan digunakan oleh syarikat minyak kelapa sawit dan pengeluar kertas, sebahagiannya disenaraikan di Singapura. Indonesia mengenakan denda berat terhadap sebuah syarikat perladangan tempatan pada minggu lalu dengan harapan ia dapat mencegah syarikat dan individu daripada menggunakan teknik tebang dan bakar untuk membersihkan tanah pertanian. – Reuters