suria

Indonesia Berusaha Henti Pembakaran Hutan - Menteri

JAKARTA: Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata negara itu menghormati aduan dari negara jiran berhubung jerebu yang disebabkan kebakaran hutan di wilayah tersebut.

Namun beliau menegaskan kerajaan Indonesia sedang berusaha menangani isu itu bukan kerana tertekan disebabkan desakan negara lain.

"Semua orang luar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak berasas tetapi melihat usaha secara sistematik dan serius yang dilakukan kerajaan Indonesia," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Siti berkata pasukan peronda di lokasi dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah yang sengaja memulakan kebakaran membantu mengekalkan bilangan titik panas di seluruh negara lebih rendah iaitu dari 8,247 antara Januari dan Ogos tahun lalu kepada 2,356 titik panas dalam tempoh yang sama tahun ini atau penurunan kira-kira 75 peratus.

Sebanyak 30 syarikat dikenakan tindakan berhubung kebakaran pada tahun lalu termasuk amaran tegas dan penggantungan lesen.

Katanya, saman sivil terhadap hampir 10 syarikat sedang dijalankan tanpa mendedahkan nama syarikat terbabit.

Kebakaran dimulakan petani kecil sebagai jalan pintas untuk membersihkan hutan atau dilakukan secara haram oleh syarikat bagi menyediakan tanah untuk tanaman kelapa sawit.

Jelas Siti, meskipun Indonesia memasuki musim genting pembakaran hutan, kerajaan itu tidak duduk diam dan berusaha keras untuk menyelesaikan isu jerebu.


jerebu, Indonesia

Artikel Berikut

Artikel Lain