SINGAPURA: Seorang wanita hamil yang tinggal di kawasan Aljunied Crescent/Sims Drive diuji positif jangkitan virus Zika, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura. Dalam kenyataan lewat Rabu, MOH berkata doktor memantau kes wanita itu dengan rapi untuk mengawasi kesihatan pesakit dan perkembangan bayinya. "Wanita itu akan dirujuk kepada pakar perubatan Maternal Fetal Medicine (MFM) untuk kaunseling dan mendapatkan nasihat," menurut kementerian itu. Kerajaan Singapura pada Selasa menasihatkan wanita hamil di negara itu yang mempunyai gejala Zika - seperti demam dan ruam, mata merah atau sakit sendi - menjalani ujian jangkitan virus Zika. MOH dan Kumpulan Penasihat Klinikal (CAG) mengenai Zika dan Kehamilan berkata mereka - dengan atau tanpa simptom - dengan pasangan lelaki yang positif Zika, juga dinasihatkan berbuat demikian. MOH dan CAG berkata ujian itu adalah percuma di institusi penjagaan kesihatan awam untuk wanita mengandung yang dirujuk oleh doktor mereka. Dalam perkembangan berkaitan, MOH berkata ia telah mengesan satu lagi kelompok berpotensi jangkitan virus Zika di kawasan Bedok North Avenue 3 dan 24 kes baharu yang dikenal pasti pada Rabu. Dilaporkan jumlah bilangan kes yang dikenal pasti sejak Sabtu adalah 115.