PARIS: Angka kematian akibat kejadian kebakaran ketika sambutan majlis hari lahir yang diadakan di restoran Cuba Libre berdekatan bandar Rouen, utara Perancis pada 6 Ogos lalu, meningkat kepada 14 orang. Menurut laporan media, seramai 13 mangsa yang berusia antara 18 dan 25 tahun disahkan terbunuh sebelum ini dan mangsa ke-14 yang dikenali sebagai Karima Ababsa meninggal dunia di Hospital Paris pada Khamis. "Keluarga Karima Ababsa meluahkan rasa sedih untuk mengumumkan kematian gadis itu tengah hari ini selepas sebulan menderita," kata peguam keluarga mangsa, Gerard Chemla dalam satu kenyataan. Keadaan gadis berusia 25 tahun itu makin tidak stabil sejak beberapa hari lalu dan keluarganya mengambil keputusan untuk menghentikan rawatan bagi menamatkan penderitaan yang dialaminya. Pejabat pendakwa raya di Rouen turut mengesahkan kematian Ababsa. Enam mangsa yang cedera akibat tragedi itu masih menerima rawatan. Satu siasatan terperinci dilancarkan untuk meneliti sama ada peraturan keselamatan dipatuhi oleh pemilik restoran itu khususnya berhubung dengan pintu kecemasan kebakaran dan bahan-bahan mudah terbakar. Perancis pernah mencatat kematian tertinggi di kelab malam yang meragut 146 nyawa pada November 1970 , melibatkan ramai mangsa berusia seawal 20-an. -AFP