MIAMI: Taufan Hermine yang melanda Pantai Teluk Florida telah menumbangkan pokok-pokok, menyebabkan banjir dan memutuskan bekalan kuasa, Jumaat. Seorang lelaki gelandangan maut ditimpa pokok, kata Gabenor Florida, Rick Scott. Tiada laporan kecederaan lain setakat ini tetapi petugas kecemasan bekerja tanpa henti sehingga lewat malam untuk menyelamatkan 18 mangsa banjir di Pascoe, Florida, dan beberapa keluarga di Hernando County, kata Scott. "Hari ini, kita tahu bahawa terdapat banyak kerja perlu dilakukan berikutan ribut ini," kata gabenor itu dalam satu kenyataan. "Perkara nombor satu adalah memastikan keadaan kekal selamat," katanya. "Arus deras dan banjir pantai yang mengancam nyawa akan berterusan dan kita semua perlu sentiasa berhati-hati." Keadaan semakin teruk apabila Taufan Hermine tiba, bertiup dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam menyebabkan beberapa kawasan di Florida menerima hujan sebanyak 12 sentimeter dan media melaporkan 270,000 penduduk terjejas akibat bekalan elektrik terputus. Hermine, yang dijangka menjadi taufan pertama tiba di Florida sejak Wilma pada 2005, juga memberi ancaman kepada negeri sepanjang utara Pantai Atlantik yang mempunyai puluhan juta penduduk. "Taufan Hermine mengumpul kekuatan dengan cepat dan akan memberi kesan kepada majoriti negeri kita," kata Scott.