DAMSYIK: Siri serangan bom menggegarkan kebanyakan kawasan yang dikuasai kerajaan Syria pada Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi mangsa cedera.
Kawasan kubu kuat Presiden Bashar al-Assad di Tartus, menyaksikan angka korban paling tinggi apabila 35 orang terbunuh dalam kejadian dua letupan bom yang dilakukan oleh pengebom berani mati.
Selain Tartus, serangan turut dilancarkan di bandar Homs, pusat kawalan tentera di Damsyik dan pusat pemeriksaan di bandar Hasakeh.
Lapan orang disahkan maut iaitu enam anggota keselamatan dan dua orang awam dalam serangan pengebom berani mati di Hasakeh yang dikuasai oleh puak Kurdis.
Serangan di Homs pula menyaksikan empat orang maut apabila sebuah bom kereta diletupkan di kawasan penempatan Al-Zahraa.
Satu lagi serangan bom berlaku di jalan Al-Sabura, mengorbankan tiga mangsa dipercayai anggota pasukan keselamatan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam kesemua serangan terbabit tetapi dipercayai dilakukan oleh kumpulan pengganas IS.
Serangan terbabit berlaku beberapa jam selepas pasukan keselamatan Turki dan pihak penentang kerajaan Syria mengusir militan IS di kawasan sempadan Turki-Syria.
Lebih 290,000 dilaporkan terbunuh di Syria sejak konflik perang saudara tecetus pada 2011 selain memaksa berjuta-juta penduduk menjadi pelarian. - AFP