ISTANBUL: Menjelang sambutan Aidiladha, pemimpin Turki dan Rusia telah bersetuju untuk mengeluarkan arahan gencatan senjata secepat mungkin di Syria. Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan dilaporkan telah menghubungi rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin berhubung perkara itu. Media tempatan memberitahu, Ankara berharap gencatan senjata dapat dilaksanakan di bandar Aleppo, utara Turki sepanjang cuti Hari Raya Aidiladha di Turki yang akan bermula 12 September ini. Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan usaha bagi tujuan tersebut, tambah laporan tersebut. Turki dan Rusia kekal sebagai pembangkang terhadap konflik di Syria dengan Moscow menyokong kerajaan dan Ankara menyokong perjuangan pemberontak untuk menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad. Pemimpin Turki itu telah bertemu dengan Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama secara berasingan pada mesyuarat G-20 di China baru-baru ini, memberitahu kedua-duanya bahawa ia satu keperluan untuk bersetuju diadakan gencatan senjata di Aleppo. Jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin pada Selasa berkata, gencatan senjata boleh bermula dengan 48 jam pertama yang kemudian akan dipanjangkan apabila kedua-dua pihak, rejim Bashar dan pejuang pemberontak menghentikan serangan.– AFP