DAMSYIK: Kurang 48 jam sebelum seluruh umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha, penduduk di wilayah Idlib dan Aleppo di Syria, dibedil dalam serangan udara yang menyaksikan sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh. Menurut laporan Al Jazeera, serangan itu dipercayai dilakukan oleh jet tempur milik Rusia hanya beberapa jam selepas Moscow dan Washington mengumumkan usaha untuk menghentikan peperangan di Syria yang berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu. Serangan berdarah itu juga berlaku ketika kerajaan Syria dan kumpulan penentang bersetuju untuk menghentikan pertempuran bagi menghormati ketibaan Aidiladha. Laporan Al Jazeera menjelaskan, sebuah jet Rusia mengebom sebuah kawasan penempatan dan sebuah pasar di Idlib pada Sabtu. "Kawasan pasar itu sesak dengan ramai penduduk awam yang membeli-belah sebagai persiapan menyambut Aidiladha. "Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dalam serangan tersebut," tambah laporan itu. Serangan berasingan berlaku di bandar Aleppo apabila kira-kira 46 orang terkorban susulan serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Rusia. Seramai 10 lagi mangsa terbunuh apabila kumpulan penentang melancarkan serangan meriam ke atah kawasan penempatan di Salahuddin yang dikuasai tentera kerajaan. "Lima lagi kematian dicatatkan di Douma yang dikuasai kumpulan penentang susulan serangan udara oleh tentera kerajaan," lapor Al Jazeera.