JAKARTA: Kerajaan Indonesia diberi lampu hijau oleh Manila untuk melaksanakan hukuman mati atas wanita Filipina, Mary Jane Veloso berhubung kesalahan menyeludup dadah. Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi selepas beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Filipina, Rodrigo Duterte baru-baru ini. "Saya menjelaskan kepada Duterte tentang situasi Mary Jane yang didapati bersalah membawa 2.6 kilogram dadah jenis heroin. "Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa hukuman mati ke atas pesalah itu ditanggguhkan disebabkan lawatan ini. "Beliau memberi kebenaran untuk meneruskan hukuman ke atas Mary Jane," katanya seperti dilaporkan portal Jakarta Post pada Isnin. Wanita terbabit ditahan di Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pada April 2010 dan dijatuhi hukuman mati oleh kerajaan Indonesia atas kesalahan tersebut. Namun Mary Jane dikecualikan daripada senarai pesalah yang dihukum pada April lalu atas faktor perundangan.